Followers

29 October 2014

Denggi




Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.


Bagaimanakah penyakit ini merebak?
Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:
Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.
Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).
Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).
Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.
Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.


Bagaimanakah terjadinya demam denggi?
Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina. Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.


Apakah penyebab demam denggi?
Penyakit demam denggi berpunca dari 4 jenis virus denggi yang dipindahkan kepada manusia melalui nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Pada asasnya terdapat 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua nyamuk Aedes berupaya bertindak sebagai vektor virus denggi sebelum memindahkannya kepada manusia. Walau bagaimanapun, vektor utama virus ini ialah nyamuk Aedes Aegypti. Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes Albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.


Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

1. Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk :
Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

2. Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang :
Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.

3. Musnahkan tempat pembiakan nyamuk :
Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak.


Nyamuk Aedes
Nyamuk Aedes merupakan sejenis nyamuk yang biasanya ditemui di kawasan tropika. Namanya diperolehi daripada perkataan Greek aedes, yang bererti "tidak menyenangkan", kerana nyamuk ini menyebarkan beberapa penyakit berbahaya seperti demam denggi. Ae. albopictus merupakan species yang sering ditemui di Asia. Kakinya berbelang hitam putih. Ae. aegypti juga terkenal sebagai penyebar denggi dan demam kuning.

Kitaran hidup nyamuk aedes bermula dari telur hingga dewasa mengambil masa kira-kira satu minggu.


Tabiat nyamuk aedes
Aedes senang dikenali dengan belang hitam putih pada badan dan kakinya
Aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan waktu senja
Aedes membiak dalam air jernih yang bertakung, sama ada di dalam atau luar rumah



Tempat pembiakan nyamuk aedes

Dalam Rumah :
Akuarium
Perangkap semut
Timba
Kolam (Kolah) mandi
Tempat air peti sejuk
Tempayan

Luar Rumah :
Tayar buruk
Tempurung kelapa
Botol/gelas pecah yang mengandungi air
Salur air hujan
Tempayan
Pokok pisang
Pokok keladi
Longkang yang tersekat
Tangki septik (terdedah)


Pencegahan pembiakan nyamuk aedes
Salin air dalam tempayan, pasu-pasu bunga, kolam mandi tiap-tiap minggu dan basuhlah sehingga bersih sebelum mengisi air yang baru
Buangkan air dari pinggan-pinggan alas pasu bunga seminggu sekali dan gosok pinggan-pinggan itu hingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk
Tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur
Bekas yang tidak digunakan hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong sampah atau ditanam
Periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang menyekat air daripada mengalir
Masukkan garam sebanyak 2 sudu teh ke dalam perangkap semut untuk mencegah pembiakan nyamuk
Peliharalah ikan seperti ikan gapi, puyu di dalam tangki besar kerana akan memakan jentik-jentik.
Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik (mengikut sukatan yang betul) ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali.





Apakah rawatan yang diberi untuk demam denggi?
Tiada rawatan khusus untuk demam denggi.
Dalam kes demam denggi dengan atau tanpa renjatan, cecair yang diberi secara oral sudah memadai untuk menggantikan kehilangan cecair badan akibat demam kuat, anoreksia dan muntah-muntah.
Ubat antipiretik mungkin boleh digunakan untuk meredakan demam. Walau bagaimanapun, salisilat (sebatian yang mengandungi analgesik untuk melegakan kesakitan, antipyresis - mengurangkan demam dengan menurunkan suhu badan dan aktiviti anti keradangan seperti aspirin) perlu dielakkan kerana ia diketahui boleh menyebabkan pendarahan. Pesakit perlu diawasi dengan rapi bagi mengesan tanda-tanda awal renjatan.
Untuk pesakit-pesakit sindrom renjatan denggi, penggantian awal dan segera plasma yang hilang dengan plasma, penambah plasma dan/atau larutan elektrolit dan cecair akan menghasilkan kesan yang menggalakkan.


Rawatan bukan farmakologi

Rawatan termasuk:
Meningkatkan pengambilan cecair.
Meningkatkan bekalan oksigen.



Pesakit demam denggi perlu berehat dan minum lebih banyak air untuk segera sembuh. Pesakit yang mengalami renjatan ketika demam perlu diberi cecair secara intravena (melalui salur darah vena). Oksigen juga perlu diberikan. Untuk pesakit demam denggi berdarah, penggantian cecair badan yang hilang mungkin mampu menyelamatkan nyawanya. Bagi sesetengah kes, pemindahan darah perlu dilakukan bagi mengawal pendarahan.


Rawatan farmakologi

Tiada ubat khusus bagi merawat demam denggi. Rawatan adalah untuk menghilangkan gejala yang timbul.


Apakah jenis pemantauan yang perlu dibuat?
Apabila sahaja pesakit disahkan mendapat demam denggi adalah menjadi tanggung jawab doktor yang merawat untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai perkara ini kerana denggi merupakan penyakit yang perlu dilaporkan. Laporan ini penting supaya tindakan lanjutan seperti di bawah ini dapat dijalankan:
Kawasan dan persekitaran di mana pesakit disyaki dijangkiti perlu dilakukan pengasapan (fogging) oleh pihak berkuasa.
Memantau kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes supaya ianya tidak merebak ke tempat lain. Jika tempat pembiakan ditemui pemilik rumah akan didenda.
Apabila pesakit telah keluar dari hospital, beliau dan ahli keluarganya perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan bertindak untuk mencegah penyakit ini dari berulang. Ini kerana pesakit yang pernah mengalami denggi jika ia mendapat semula penyakit ini, kesannya adalah amat teruk.

-----------------------------------------------------------------------------------------

Sumber : Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan


♥ Jazakallahukhairan Kathira ♥

2 comments:

  1. Takutlah dengan denggi nie. Bahaya.

    ReplyDelete
  2. nice info.

    lagi2 tgh musim denggi ni.

    nauzubillah

    sincerely,
    Najlaa 'Aqilah

    ReplyDelete

Disclaimer #1

Sebarang penulisan di nadiasyakila.blogspot.com adalah perkongsian dan pendapat peribadi. Tiada kaitan dengan mana2 pihak samada hidup atau mati. Elakkan mengulang cetak / salin sesuka hati, untuk perkongsian ilmiah dibenarkan.

Disclaimer #2

Segala penerangan/penulisan/testimoni tentang produk yg dikongsi dilaman ini bukan bertujuan utk merawat, mencegah, mendiagnose apa jua penyakit. Pembaca digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan bertauliah.

Nadia Syakila Copyright © 2015 Designed by MaiGraphikDesign